Khamis, 5 Januari 2012

PROGRAM PEMULIHAN KHAS


PROGRAM PEMULIHAN KHAS


PENGENALAN
Program Pemulihan Khas telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran  Malaysia (KPM) semenjak tahun 1960an bagi membantu murid-murid di sekolah rendah yang menghadapi masalah khusus dalam pembelajaran iaitu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira ( 3M ).
Pada tahun 1983, sistem pendidikan Malaysia telah memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR). Kurikulum baru ini merupakan satu usaha untuk kembali semula kepada asas pendidikan dengan memberi fokus kepada 3M dan murid-murid yang tidak menguasainya dibantu melalui Program Pemulihan Khas. Pengajaran dan pembelajaran pada Tahap 1 (Tahun 1-3) akan membolehkan guru-guru mengenalpasti murid-murid yang mempunyai masalah penguasaan asas 3M. Seterusnya pihak sekolah berusaha menyediakan Program Pemulihan Khas bagi mengatasi masalah penguasaan asas 3M.
Fokus ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam  teras ketiga : Memperkasakan Sekolah Kebangsaan dan teras keempat : Merapatkan Jurang Pendidikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010 . Melalui kedua-dua teras ini, beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai kemahiran asas 3M pada tahap 1. KPM akan memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan dan menyediakan guru pemulihan khas terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah  kurang Murid (SKM).
Definisi
Definisi Program Pemulihan Khas
“Satu program pendidikan disediakan untuk murid yang mengalami  masalah dalam penguasaan kemahiran 3M yang kompleks disebabkan oleh  faktor persekitaran. Program ini dijalankan oleh guru yang khusus, di ruang yang khusus.”
Definisi Murid Pemulihan Khas
“Murid yang menghadapi kesukaran dalam penguasaan kemahiran asas 3M disebabkan oleh faktor persekitaran dan bukan kognitif”.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan